Monday, 3 August 2015

# 5 sen


Ting tong!

Kedengaran bunyi loceng ketika aku menolak daun pintu kaca dan melangkah masuk premis. Kelihatan makwe kaunter yang tampak ceria melemparkan senyuman manis dan hangat kepada setiap pelanggan yang datang.

Aku tanpa banyak soal terus menuju ke bahagian paling belakang. Aku sambar air botol dan sebuku roti. Pilihan nutrisi lengkap untuk memulakan hari. Setelah selesai memilih, aku ke kaunter untuk membuat pembayaran. Makwe kaunter masih lagi tak lekang dengan senyuman manisnya.

"Ini saja, bang?" soal makwe kaunter.

Aku angguk tenang. Dia ingat aku tak mampu beli satu kedai tu terus agaknya.

"Semua sekali RM4.15."

Aku keluarkan dompet berjenama mewah aku. Kemudian aku hulurkan not RM50.

"Abang ada duit kecil?" soal makwe kaunter lagi.

Aku belek dompet aku. Kot-kot ada duit kecil. Akhirnya terdapat 4 keping not seringgit dan sekeping syiling sepuluh sen. Aku terbalikkan dompet dan tepuk-tepuk jika ada lagi duit syiling sepuluh sen yang tersangkut ke apa.
Gagal dan hampa.

"Takde dik. Tak cukup 5 sen." Jawab aku berhemah.

"Takpe, abang cari dulu. Barang abang saya simpankan dulu ya. Minta abang ketepi dulu ye. Abang cari dulu, saya tunggu."

Aku pandang makwe kaunter dengan semangat yang hilang. Kadang-kadang aku rasa nak lempang saja makwe kaunter ni. Selepas itu aku nak melompat ke atas meja kaunter itu dan menjerit, “BANGSAT APA NAK KENA DUDUK TEPI HA, SUNDAL! ANARCHY NOW!”

“Ok, sekejap ye.” Aku keluar dari kedai menuju ke kereta dan cari sekiranya ada mana-mana syiling terselit celah tempat duduk, lantai kereta, bawah handbrake. Aku bernasib baik jumpa sekeping syiling 10 sen dalam dashboard.

Aku berlari masuk semula ke dalam kedai dengan mata bersinar, seolah kanak-kanak mendapat aiskrim. Sampai di kaunter, penuh bangga dan kening terangkat, aku serahkan duit berjumlah RM4.20 kepada makwe kaunter.

"Terima kasih, bang. Sorry susahkan abang ya," kata makwe kaunter seraya menghulur plastik berisi air botol dan roti.

Aku angguk. Kemudian aku perasan makwe kaunter tak hulurkan duit baki 5 sen.

"Duit baki saya mana?"

"Alamak. Sori bang. Takde duit kecik laaa.. Abang halalkan ajelah ya?"

Jadah. Aku tak cukup 5 sen, kau suruh aku cari. Ni kau tak cukup 5 sen, kau minta aku halalkan.

"Tak boleh. Awak cari 5 sen." Arah aku.

"Kaunter baru lepas kosongkan ni bang. Takde duit kecik. Dah hantar masuk belakang semuanya."

"Takpe. Awak pergi cari juga 5 sen saya. Awak jangan risau. Saya boleh tolong tengokkan kaunter. Awak masuk belakang cari 5 sen saya."

"Tak bolehlah macam tu bang. Customer dah ada ramai ni."

"Saya tak kira. Awak kena pulangkan baki 5 sen saya."

Pap! Pap! Bahu aku ditepuk dari belakang. Aku menoleh ke belakang. Kelihatan seorang brader rambut pacak bermuka tak puas hati. Melihat bentuk badannya, aku syak dia jenis suka main gym.

"Alah, 5 sen je brader. Tak payah berkira sangat. Halalkan ajelah." Tegur brader sado itu.

Praaakk!

Tak sampai beberapa saat, satu tendangan kilat singgah tepat di dada brader tadi. Brader sado tadi dengan mata terbeliak terpelanting ke belakang lalu melekat tepat di badan dinding.

“Kau menyibuk apa hal?” Jerkah aku.

“Sabar bro. Sabar. Benda boleh di bawa berbincang.” Tegur seorang brader kopiah yang kebetulan turut beratur di situ.

"Tak boleh bero. Dia tadi beria suruh aku cari. So sekarang dia pun kena cari la juga."

Akhirnya makwe kaunter terpaksa akur dan tutup kaunter sekejap untuk ke belakang cari duit 5 sen untuk aku.

"5 sen je nak kecoh. Kasi halal pun takpe." Satu kutu sound curi dari belakang.

Aku pandang kutu yang sound curi aku dengan renungan makrifat. Kutu tu rebah ke lantai dan terus mulut berbuih sebab kena sawan.
Tak sampai 2 minit, makwe kaunter muncul dengan wajah puas. Kali ni dia dah takde senyum-senyum. Makwe kaunter hulur 5 sen kepada aku.

Semasa aku berlalu pergi, aku sempat dengar makwe tu cakap dengan brader kopiah tadi,

"Semuanya RM8.35 sen bang"

Brader kopiah tu hulur RM20.

"Errr, bang. Ada duit kecik tak? Kami baru clearkan kaunter. Seeloknya sediakan duit cukup-cukup boleh?"

Aku pandang semula ke brader kopiah tu dan mata kami bertentang. Aku syak brader kopiah tu paham dah apa aku rasa tadi.


Aku geleng kepala dan meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Dajei, dah lewat 10 minit.

Wednesday, 18 March 2015

# Polis Sentri


Jika masih segar di dalam kotak ingatan setiap dari kita, pernah wujud sejenis permainan purbakala yang dinamakan 'polis sentri'. Ntah kutu mana yang reka nama 'polis sentri' ni padahal nama betul dia 'Police and Thieves'.

Permainan taktikal kategori hardcore ini memerlukan lebih daripada dua orang permain. Lagi ramai lagi bagus. Nak main dua orang pun boleh sahaja sebenarnya, cuma jadi tak logik akal. Mana ada polis Malaysia kejar orang jahat seorang diri.

Sukan yang memerlukan kepantasan dan ketepatan ini sesuai dimainkan oleh apa jua jantina, bangsa dan apa juga agama. Sesungguhnya tiada unsur syirik dan khurafat dalam permainan ini. Cara permainan ini mudah dan ringkas seperti mana nama permainannya. Permainan yang sesuai diaplikasikan di mana-mana situasi dan keadaan. Cuma mungkin sedikit bangang jika dimainkan dalam hujan.

Cara permainan adalah pemain yang ramai-ramai tadi akan dibahagikan kepada dua kumpulan secara undian. Sebelah pihak menjadi polis dan satu lagi pihak menjadi pencuri. Teknik undian bebas mengikut skill dan trend semasa, asalkan ianya adil. Undian paling mainstream adalah nyanyian ‘Polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga.’

Apabila selesai undian, sebuah penjara ataupun kandang akan dilukiskan di atas tanah berpasir membentuk sebuah bulatan besar berkadaran mengikut bilangan pencuri. Kecil sangat nanti tak muat, besar sangat nanti jadi selesa pula pencuri kat dalam.

Permainan dimulakan dengan kiraan kadar patut dan pihak yang menjadi pencuri akan lari bertempiaran dan pihak yang menjadi polis akan menangkap pencuri untuk dimasukkan ke dalam penjara. Pencuri bebas untuk berlari, melompat hatta berguling asalkan tidak sampai tertangkap oleh polis. Seperti mana pencuri, pihak polis juga bebas untuk menggunakan segala aplikasi penangkapan. Peliknya polis di dalam polis sentri ini tidak dibekalkan sebarang cota, pistol ataupun senapang. Kalau ada pun polis yang curi-curi guna, ia tidak berkesan sama sekali kepada pencuri.

Pencuri yang tertangkap oleh polis akan dibawak masuk ke dalam penjara atau kandang yang dilukis tadi. Ketika dibawa polis, pencuri hendaklah akur menurut perintah dan tidak boleh melawan atau buat-buat terlepas. Permainan akan tamat apabila kesemua pencuri telah berjaya dimasukkan ke dalam penjara.

Walaupun begitu, pencuri yang dimasukkan ke dalam penjara boleh dilepaskan dengan cara dicuit tangan oleh pencuri yang masih belum tertangkap. Menjadi tanggungjawab salah seorang polis untuk menjaga pencuri di dalam penjara supaya tidak dicuit tangan.

Jika permainan telah tamat dengan kesemua pencuri telah selamat ditangkap, permainan akan dimulakan semula dengan pihak polis pula menjadi pencuri dan sebaliknya. Tidaklah pernah dikaji entah kenapa polis menjadi pencuri secara tiba-tiba dan pencuri boleh menjadi polis juga secara tiba-tiba.

*****

Tahun 2015.

Budak-budak sekarang mengadap smartphone main COC. Sedih betei.

Yang sebenarnya, ini bukan masa mereka untuk buat semua tu. Ini masa untuk dia main congkak, main batu seremban, main terup lipat, main tuju selipar, main snap, main gasing, main teng-teng, galah panjang, panjat pokok. Walaupun bunyinya ketinggalan zaman, tapi itulah yang perlu dibuat oleh anak kecil. Dah besar nanti, kau hadaplah smartphone sampai muntah-muntah.

Adik-adik, abang takut bila hang sudah dewasa nanti, hang akan menyesal tak jadi menjadi budak sewaktu masih budak. Rugi!

Saturday, 31 January 2015

# Tahajjud Cinta


Tahajud. Itulah topik pcrbincangan pada kali ini. Ia adalah rutin harian Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang menjadi rahsia kejayaan mereka di dunia dan akhirat.

Kegemilangan umat Islam terdahulu bukan terletak pada kecerdasan mereka sahaja. Bukan juga pada ketegapan tubuh dan kekuatan fizikal semata-mata. Sebaliknya rahsia utama kejayaan ulung mereka bertunjangkan kedekatan jiwa mereka kepada Allah.

Tanpa sokongan dan pertolongan Allah, umat Islam tidak akan berjaya mencipta kegemilangan. Kita amat memerlukan pertolongan Allah terutamanya dalam situasi umat hari ini. Sesiapa yang memperhatikan pelbagai peristiwa yang berlaku pada umat Islam saat ini pasti melihat bahawa kita sedang mengharungi cabaran yang maha berat.

Tiada yang dapat membantu kita menghadapi cabaran ini melainkan Allah. Sayangnya, kita selalu membelakangkan Allah. Kita hanya bergantung kepada kecerdasan dan kemampuan kita yang terbatas dan angkuh pula untuk berdoa kepada Allah pada saat-saat mustajab.

Ketika Allah memanggil kita pada pertengahan malam dan membuka tangan-Nya untuk menerima taubat, kita terus lena tidur dalam kehangatan selimut. Bagaimana mungkin seorang pemuda yang tidak mampu menguak sehelai selimut untuk sujud kepada Allah, mampu membela agamanya dan membantu umatnya?

Justeru, mari kita hidupkan kembali budaya tahajud agar umat kembali bangkit!

Monday, 20 October 2014

# Hanjing 2


Masa aku sekolah rendah dulu, pernah sekali aku jalan kaki pulang dari sekolah ikut jalan pintas. Masa lalu lorong belakang kedai yang sunyi, aku terdengar beberapa dengusan dari arah belakang aku.

Aku toleh ke belakang. Rupanya aku dikepung oleh sekumpulan 5 ekor anjing liar.

Aku tenung satu persatu wajah anjing itu. Aku tengok dalam-dalam mata anjing itu. Aku cuba camkan dan kenalpasti yang mana satu ketua dalam geng diorang.

Lepas kenalpasti yang mana ketua, aku tenung mata dia pulak. Kemudian sambil tenung mata si ketua tadi, aku tunjuk ke arah mana anjing tu datang dan aku jerit mantap, "Pergi...!!!"

Aku berpaling dan teruskan perjalanan. Lepas dua tiga langkah, aku toleh belakang semula. Anjing tu semua blah kendian patah balik ke arah aku tunjukan tadi.

Bila sampai rumah, aku bagitahu kat mak bapak aku yang aku pemberani. Mak bapak aku rasa bangga.

Sekian saja flashback memori saya.

P/S: Tuhan saja yang tahu masa tu kaki aku macam agar-agar.

# Hanjing



Islam adalah agama yang syumul iaitu bersifat menyeluruh bagi setiap aspek kehidupan dari sains hingga ke sastera, dari politik hingga ke politeknik, sosial, ekonomi dan serba serbi. Jadi semua itu melibatkan hubungan dengan bukan sahaja Tuhan tetapi sesama manusia dan alam sekeliling.

Begitu juga dengan bab hukum Islam. Hukum Islam juga tak ada yang klasik, tak ada yang moden. Hukumnya terpakai sepanjang zaman. Tak ada sebarang modifikasi.

Oleh itu orang yang beriman, bertaqwa dan setiap hari memakai kopiah perlu memberi signal jika hendak masuk ke simpang ketika memandu.

Begitu juga dengan makwe hijabster. Bergambar sambil suka-suka memegang, memeluk, mendukung anjing tidak dianjurkan dalam agama malah ia bukan sunnah. Janganlah kita sengaja menjadi bangang!!

Sunday, 19 October 2014

# Bendera

focus..focus
Masa sekolah rendah dulu time perhimpunan, tugas untuk menaikkan Jalur Gemilang tatkala lagu Negaraku dinyanyikan adalah antara tugas yang mendebarkan para pengawas.

Waktu nyanyian tu, semua mata pelajar tertumpu pada bendera yang sedang ditarik.

Kalau bendera dah sampai dulu ke puncak tiang sebelum lagu habis, ia boleh mendatangkan malu besar.

Tapi kalau timing lagu dengan bendera cun, ngam-ngam serentak, dia punya kerek boleh bertahan sampai perhimpunan lagi satu.

Wednesday, 15 October 2014

# Burung


Dulu, ada burung layang-layang terbang masuk bilik aku. Lepas tu sayap dia terputus sebab kena kipas siling. Sebab kesian, aku cantum balik sayap dengan badan dia, kemudian aku balut guna selotape.

Aku bubuh dekat dengan tingkap supaya dia boleh terbang keluar.

Bila pikir-pikir balik, boleh tahan bangang gak aku rupanya time kecik-kecik.