Monday 3 August 2015

# 5 sen


Ting tong!

Kedengaran bunyi loceng ketika aku menolak daun pintu kaca dan melangkah masuk premis. Kelihatan makwe kaunter yang tampak ceria melemparkan senyuman manis dan hangat kepada setiap pelanggan yang datang.

Aku tanpa banyak soal terus menuju ke bahagian paling belakang. Aku sambar air botol dan sebuku roti. Pilihan nutrisi lengkap untuk memulakan hari. Setelah selesai memilih, aku ke kaunter untuk membuat pembayaran. Makwe kaunter masih lagi tak lekang dengan senyuman manisnya.

"Ini saja, bang?" soal makwe kaunter.

Aku angguk tenang. Dia ingat aku tak mampu beli satu kedai tu terus agaknya.

"Semua sekali RM4.15."

Aku keluarkan dompet berjenama mewah aku. Kemudian aku hulurkan not RM50.

"Abang ada duit kecil?" soal makwe kaunter lagi.

Aku belek dompet aku. Kot-kot ada duit kecil. Akhirnya terdapat 4 keping not seringgit dan sekeping syiling sepuluh sen. Aku terbalikkan dompet dan tepuk-tepuk jika ada lagi duit syiling sepuluh sen yang tersangkut ke apa.
Gagal dan hampa.

"Takde dik. Tak cukup 5 sen." Jawab aku berhemah.

"Takpe, abang cari dulu. Barang abang saya simpankan dulu ya. Minta abang ketepi dulu ye. Abang cari dulu, saya tunggu."

Aku pandang makwe kaunter dengan semangat yang hilang. Kadang-kadang aku rasa nak lempang saja makwe kaunter ni. Selepas itu aku nak melompat ke atas meja kaunter itu dan menjerit, “BANGSAT APA NAK KENA DUDUK TEPI HA, SUNDAL! ANARCHY NOW!”

“Ok, sekejap ye.” Aku keluar dari kedai menuju ke kereta dan cari sekiranya ada mana-mana syiling terselit celah tempat duduk, lantai kereta, bawah handbrake. Aku bernasib baik jumpa sekeping syiling 10 sen dalam dashboard.

Aku berlari masuk semula ke dalam kedai dengan mata bersinar, seolah kanak-kanak mendapat aiskrim. Sampai di kaunter, penuh bangga dan kening terangkat, aku serahkan duit berjumlah RM4.20 kepada makwe kaunter.

"Terima kasih, bang. Sorry susahkan abang ya," kata makwe kaunter seraya menghulur plastik berisi air botol dan roti.

Aku angguk. Kemudian aku perasan makwe kaunter tak hulurkan duit baki 5 sen.

"Duit baki saya mana?"

"Alamak. Sori bang. Takde duit kecik laaa.. Abang halalkan ajelah ya?"

Jadah. Aku tak cukup 5 sen, kau suruh aku cari. Ni kau tak cukup 5 sen, kau minta aku halalkan.

"Tak boleh. Awak cari 5 sen." Arah aku.

"Kaunter baru lepas kosongkan ni bang. Takde duit kecik. Dah hantar masuk belakang semuanya."

"Takpe. Awak pergi cari juga 5 sen saya. Awak jangan risau. Saya boleh tolong tengokkan kaunter. Awak masuk belakang cari 5 sen saya."

"Tak bolehlah macam tu bang. Customer dah ada ramai ni."

"Saya tak kira. Awak kena pulangkan baki 5 sen saya."

Pap! Pap! Bahu aku ditepuk dari belakang. Aku menoleh ke belakang. Kelihatan seorang brader rambut pacak bermuka tak puas hati. Melihat bentuk badannya, aku syak dia jenis suka main gym.

"Alah, 5 sen je brader. Tak payah berkira sangat. Halalkan ajelah." Tegur brader sado itu.

Praaakk!

Tak sampai beberapa saat, satu tendangan kilat singgah tepat di dada brader tadi. Brader sado tadi dengan mata terbeliak terpelanting ke belakang lalu melekat tepat di badan dinding.

“Kau menyibuk apa hal?” Jerkah aku.

“Sabar bro. Sabar. Benda boleh di bawa berbincang.” Tegur seorang brader kopiah yang kebetulan turut beratur di situ.

"Tak boleh bero. Dia tadi beria suruh aku cari. So sekarang dia pun kena cari la juga."

Akhirnya makwe kaunter terpaksa akur dan tutup kaunter sekejap untuk ke belakang cari duit 5 sen untuk aku.

"5 sen je nak kecoh. Kasi halal pun takpe." Satu kutu sound curi dari belakang.

Aku pandang kutu yang sound curi aku dengan renungan makrifat. Kutu tu rebah ke lantai dan terus mulut berbuih sebab kena sawan.
Tak sampai 2 minit, makwe kaunter muncul dengan wajah puas. Kali ni dia dah takde senyum-senyum. Makwe kaunter hulur 5 sen kepada aku.

Semasa aku berlalu pergi, aku sempat dengar makwe tu cakap dengan brader kopiah tadi,

"Semuanya RM8.35 sen bang"

Brader kopiah tu hulur RM20.

"Errr, bang. Ada duit kecik tak? Kami baru clearkan kaunter. Seeloknya sediakan duit cukup-cukup boleh?"

Aku pandang semula ke brader kopiah tu dan mata kami bertentang. Aku syak brader kopiah tu paham dah apa aku rasa tadi.


Aku geleng kepala dan meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Dajei, dah lewat 10 minit.

No comments:

Post a Comment