Tuesday, 22 October 2013

# Piramid


Di sebuah restoran Mamak...

"Aku rasa ada satu cara yang boleh kasi raja-raja Melayu ni betul-betul jadi king...." Kata Amirul kepada aku. "Cara ni bukan saja dapat meningkatkan kuasa raja-raja, malah boleh membasmi gejala sosial, meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan negara..." sambung Amirul serius.

"Malah pendekatan yang aku fikir ni ada ciri-ciri Islamik... Eh, Arabik." Sambung Amirul lagi sekali.

Seorang staf Mamak datang bawa air minuman. Aku mengambil gelas teh tarik manakala amirul mengambil air kegemarannya iaitu air kosong. Aku hirup teh belah atas. Bila teh tu kena gigi, aku dah dapat rasakan Mamak ni ada campur air gula sikit dalam teh tu. Aku jeling Mamak yang tengah tarik teh kat tempat buat air. Tarikan teh Mamak tu makin rendah dan merendah diri. Aku senyum nipis. Amirul pula kelihatan begitu menyelerakan menikmati airnya.

"Caranya, raja-raja ni kena buat piramid..." Sambung Amirul semula serentak dengan itu juga mulut aku tersembur dengan air teh yang baru aku hirup. "Yes... Piramid." Ulang Amirul mantap.

"Projek piramid ni aku rasa memang idea aku yang nombor dua paling genius selepas idea terbalikkan basikal, buat air batu campur. Tapi projek piramid ni tak boleh kasi sub ke orang lain, kasi king-king ni handle sendiri. Baru diorang nampak steady. Baru fungsi king-king ni optimum. Sambil handle persatuan bola, diorang boleh turun tapak piramid libas belakang budak-budak yang salah buat piramid pakai batu sungai. Yang bagusnya king ni sentiasa duduk atas kerusi king kat tapak piramid sambil makan anggur.

Piramid ni eloknya kasi ke budak-budak PLKN suruh buat. Pusat-pusat PLKN tu kita tutup. Bila tutup, kos dah banyak jimat. Kita dedahkan diorang dengan pembinaan piramid di usia muda. Aku jamin fizikal dan mental budak-budak ni akan kuat. Semangat patriotik dah tentu menaik bila pagi-pagi berbaris nyanyi lagu Negaraku kat tapak piramid. Penjara pun kita tutup. Ini pun banyak juga kos kita jimat. Warga penjara ramai-ramai tu kita bawa ke tapak piramid. Duduk penjara pun bukannya ada buat apa sangat. Aku tengok dalam TV tu, diorang ni asyik baring saja tak sudah. Baik buat piramid. Berpeluh sikit badan.

Piramid ni kata orang Arab, sedap pakai batu sebesar saiz pajero. Cepat sikit dia naik sampai ke puncak tajam tu. Jadi bila pakai batu besar ni memang banyak nak pakai orang buat angkat batu. Aku rasa tak cukup setakat suruh budak-budak PLKN dengan abang-abang penjara saja yang buat. Kena ajak ramai lagi.

Sehubungan itu, inilah masanya kita nak guna belia-belia kpop, belia rempit, belia kelab malam, belia rambut kuning, budak MLM, pemain bola simpanan liga M, skinhead, budak malas sekolah lepak lombong, pekida, kontraktor bumiputera dan budak-budak pesbuk yang jenis melahu. Kita tarik slow-slow budak-budak ni kat supermarket, uptown Ipoh atau karnival kerjaya. Buat operasi tarik kat ujibakat AF pun aku rasa molek juga.

Bila diorang ni semua dah dikumpulkan, suruh king kasi taklimat sikit. Lepas tu bahagi-bahagi tugas. Yang sihat, angkat batu. Yang OKU, jadi mandur. Gaji tak payah kasi. Buatkan diorang akaun ASB satu sorang. Buku ASB diaorang suruh king pegang. Kita kasi la saguhati dalam RM50 sebulan masuk akaun ASB. Nanti bila piramid dah siap, baru king pulang balik buku ASB. Bayangkan satu king handle satu piramid. 10 king, dah berapa piramid? Itu belum masuk agung punya piramid. Piramid agung mesti habis kuat pun buat kat sebelah IKEA Damansara. Katakan 1 piramid, 20 tahun baru siap. Kalau 60 tahun, dah berapa piramid kita dapat?” Jelas Amirul panjang lebar.

“Piramid banyak-banyak ni nak buat apa?” Tanya satu Dato' bersut hitam yang tiba-tiba lalu sebelah table kitaorang.

Amirul bingkas bangun lalu tumbuk perut Dato' tu kuat-kuat. Nampaknya dia tak melawan.

"Piramid banyak-banyak ni fungsi dia sebagai piramid laa! Nak jadi apa lagi?" Tengking Amirul sebelah telinga Dato’ itu.

Dato' itu tak banyak cakap dan berjalan cepat-cepat ke Mercedesnya.

Amirul renung tajam dari jauh.

"Kalau idea piramid aku ni jalan, king-king semua ni akan sibuk jaga piramid. Tugas ketua agama ni diorang terpaksa serah ke mufti dan imam masjid. Tugas makan angin kat oversea dan berubat kat Eropah pun dah makin kurang. King-king ni akan lebih banyak bertugas panah budak-budak yang curi tulang masa buat piramid dari jarak jauh...” Sambung Amirul semula.

“Kalau tengok, sekarang ni king-king nampak macam takde kerja. Tapi jangan risau. Bila projek piramid tu start dan dah siap, king-king ni semua akan banyak kerja. Piramid pula yang nanti akan takde kerja. Jadi lepas tu, apa-apa hal kita salahkan piramid. Amacam?”

Tiada sambungan...

1 comment: