Thursday, 20 February 2014

# Usahawan


"Ariff, aku nak tanya sikit boleh tak?" soal Amirul yang sedari tadi diam memandang laut.

"Tanyalah... Apa dia?" Ariff jawab tenang sambil jari ligat bermain game ular di telefon bimbit murahnya.

"Apa nak jadi dengan kita ni Ariff? Pagi petang siang malam duk melepak dekat bangku tepi laut ni. Takde cuti tau? Makwe pun takde." Amirul cuba meluahkan perasaan yang terpendam di benaknya selama ini.

Ariff diam membisu. Pasir-pasir tepi laut itu dikuis-kuis dengan kaki.

"Ye lah. Habis, kita nak buat apa? Kerja? Kita bukan ada degree pun. SPM pun kita dua-dua kantoi. Manalah orang nak ambik kita kerja." Ariff jawab persoalan Amirul.

"Tapi aku dah boring lah duduk hari-hari macam gini. Kita meniaga nak?" bola mata Amirul sedikit bersinar-sinar.

"Kita nak meniaga apa? Aku tebas semak, makan nasi, update status Facebook tahulah. Meniaga? Kau tahu meniaga?" jari Ariff masih lagi ligat bermain game ular di telefon bimbitnya.

Amirul menggaru-garu kepalanya yang hampir tidak berambut itu.

"Tahu! Aku selalu pergi pasar malam dekat pekan tu. Ramai je orang meniaga?" ujar Amirul.

"Diorang yang meniaga, bukan kau. Bongok! Entah apa-apa je lah kau ni." marah Ariff.

"Hoi, korang dating tak ajak aku ye!" tiba-tiba Kassim muncul dengan skuternya.

"Alah, kau bukan tak tahu. Kitaorang tiap-tiap hari ada dekat sini. Kau apa kes?" Amirul senyum nipis memandang Kassim.

"Aku baru lepas beli barang untuk mak aku. Nak buat laksa katanya." Kassim menongkat skuternya. Kemudian dia menge'lock' handle skuternya, takut di curi.

"Kassim, kitorang nak meniagalah. Kau ada idea nak meniaga apa tak?" soal Ariff.

Kassim memandang langit.

"Korang jual airlah. Dekat tepi laut ni, panas-panas gini tentu air korang laku punyalah!" Kassim memberikan buah fikiran.

*****

Keesokannya, dari jauh Kassim melihat kelibat dua orang kawannya di tepi laut siap dengan gerai lagi. Kassim tersenyum puas melihat perubahan kawannya.

Inilah belia-belia kampung yang kita mahu!

"Korang buat apa ni?" tanya Kassim yang baru tiba di gerai Amirul dan Ariff dengan mata terbeliak.

"Kita orang jual airlah. Macam kau cakap hari tu. Bukan saja orang dapat mandi-manda, malah kita orang jual air laut ni untuk dia orang bawak balik sebagai cenderamata tau." Amirul dan Ariff jawab serentak. Yakin.

*****

Dari jauh kelihatan Kassim perlahan-lahan berenang ke tengah laut dengan harapan mati lemas daripada melepak dengan dua ekor beruk itu.

2 comments: