Wednesday 18 March 2015

# Polis Sentri


Jika masih segar di dalam kotak ingatan setiap dari kita, pernah wujud sejenis permainan purbakala yang dinamakan 'polis sentri'. Ntah kutu mana yang reka nama 'polis sentri' ni padahal nama betul dia 'Police and Thieves'.

Permainan taktikal kategori hardcore ini memerlukan lebih daripada dua orang permain. Lagi ramai lagi bagus. Nak main dua orang pun boleh sahaja sebenarnya, cuma jadi tak logik akal. Mana ada polis Malaysia kejar orang jahat seorang diri.

Sukan yang memerlukan kepantasan dan ketepatan ini sesuai dimainkan oleh apa jua jantina, bangsa dan apa juga agama. Sesungguhnya tiada unsur syirik dan khurafat dalam permainan ini. Cara permainan ini mudah dan ringkas seperti mana nama permainannya. Permainan yang sesuai diaplikasikan di mana-mana situasi dan keadaan. Cuma mungkin sedikit bangang jika dimainkan dalam hujan.

Cara permainan adalah pemain yang ramai-ramai tadi akan dibahagikan kepada dua kumpulan secara undian. Sebelah pihak menjadi polis dan satu lagi pihak menjadi pencuri. Teknik undian bebas mengikut skill dan trend semasa, asalkan ianya adil. Undian paling mainstream adalah nyanyian ‘Polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga.’

Apabila selesai undian, sebuah penjara ataupun kandang akan dilukiskan di atas tanah berpasir membentuk sebuah bulatan besar berkadaran mengikut bilangan pencuri. Kecil sangat nanti tak muat, besar sangat nanti jadi selesa pula pencuri kat dalam.

Permainan dimulakan dengan kiraan kadar patut dan pihak yang menjadi pencuri akan lari bertempiaran dan pihak yang menjadi polis akan menangkap pencuri untuk dimasukkan ke dalam penjara. Pencuri bebas untuk berlari, melompat hatta berguling asalkan tidak sampai tertangkap oleh polis. Seperti mana pencuri, pihak polis juga bebas untuk menggunakan segala aplikasi penangkapan. Peliknya polis di dalam polis sentri ini tidak dibekalkan sebarang cota, pistol ataupun senapang. Kalau ada pun polis yang curi-curi guna, ia tidak berkesan sama sekali kepada pencuri.

Pencuri yang tertangkap oleh polis akan dibawak masuk ke dalam penjara atau kandang yang dilukis tadi. Ketika dibawa polis, pencuri hendaklah akur menurut perintah dan tidak boleh melawan atau buat-buat terlepas. Permainan akan tamat apabila kesemua pencuri telah berjaya dimasukkan ke dalam penjara.

Walaupun begitu, pencuri yang dimasukkan ke dalam penjara boleh dilepaskan dengan cara dicuit tangan oleh pencuri yang masih belum tertangkap. Menjadi tanggungjawab salah seorang polis untuk menjaga pencuri di dalam penjara supaya tidak dicuit tangan.

Jika permainan telah tamat dengan kesemua pencuri telah selamat ditangkap, permainan akan dimulakan semula dengan pihak polis pula menjadi pencuri dan sebaliknya. Tidaklah pernah dikaji entah kenapa polis menjadi pencuri secara tiba-tiba dan pencuri boleh menjadi polis juga secara tiba-tiba.

*****

Tahun 2015.

Budak-budak sekarang mengadap smartphone main COC. Sedih betei.

Yang sebenarnya, ini bukan masa mereka untuk buat semua tu. Ini masa untuk dia main congkak, main batu seremban, main terup lipat, main tuju selipar, main snap, main gasing, main teng-teng, galah panjang, panjat pokok. Walaupun bunyinya ketinggalan zaman, tapi itulah yang perlu dibuat oleh anak kecil. Dah besar nanti, kau hadaplah smartphone sampai muntah-muntah.

Adik-adik, abang takut bila hang sudah dewasa nanti, hang akan menyesal tak jadi menjadi budak sewaktu masih budak. Rugi!

2 comments: