Monday, 3 August 2015

# 5 sen


Ting tong!

Kedengaran bunyi loceng ketika aku menolak daun pintu kaca dan melangkah masuk premis. Kelihatan makwe kaunter yang tampak ceria melemparkan senyuman manis dan hangat kepada setiap pelanggan yang datang.

Aku tanpa banyak soal terus menuju ke bahagian paling belakang. Aku sambar air botol dan sebuku roti. Pilihan nutrisi lengkap untuk memulakan hari. Setelah selesai memilih, aku ke kaunter untuk membuat pembayaran. Makwe kaunter masih lagi tak lekang dengan senyuman manisnya.

"Ini saja, bang?" soal makwe kaunter.

Aku angguk tenang. Dia ingat aku tak mampu beli satu kedai tu terus agaknya.

"Semua sekali RM4.15."

Aku keluarkan dompet berjenama mewah aku. Kemudian aku hulurkan not RM50.

"Abang ada duit kecil?" soal makwe kaunter lagi.

Aku belek dompet aku. Kot-kot ada duit kecil. Akhirnya terdapat 4 keping not seringgit dan sekeping syiling sepuluh sen. Aku terbalikkan dompet dan tepuk-tepuk jika ada lagi duit syiling sepuluh sen yang tersangkut ke apa.
Gagal dan hampa.

"Takde dik. Tak cukup 5 sen." Jawab aku berhemah.

"Takpe, abang cari dulu. Barang abang saya simpankan dulu ya. Minta abang ketepi dulu ye. Abang cari dulu, saya tunggu."

Aku pandang makwe kaunter dengan semangat yang hilang. Kadang-kadang aku rasa nak lempang saja makwe kaunter ni. Selepas itu aku nak melompat ke atas meja kaunter itu dan menjerit, “BANGSAT APA NAK KENA DUDUK TEPI HA, SUNDAL! ANARCHY NOW!”

“Ok, sekejap ye.” Aku keluar dari kedai menuju ke kereta dan cari sekiranya ada mana-mana syiling terselit celah tempat duduk, lantai kereta, bawah handbrake. Aku bernasib baik jumpa sekeping syiling 10 sen dalam dashboard.

Aku berlari masuk semula ke dalam kedai dengan mata bersinar, seolah kanak-kanak mendapat aiskrim. Sampai di kaunter, penuh bangga dan kening terangkat, aku serahkan duit berjumlah RM4.20 kepada makwe kaunter.

"Terima kasih, bang. Sorry susahkan abang ya," kata makwe kaunter seraya menghulur plastik berisi air botol dan roti.

Aku angguk. Kemudian aku perasan makwe kaunter tak hulurkan duit baki 5 sen.

"Duit baki saya mana?"

"Alamak. Sori bang. Takde duit kecik laaa.. Abang halalkan ajelah ya?"

Jadah. Aku tak cukup 5 sen, kau suruh aku cari. Ni kau tak cukup 5 sen, kau minta aku halalkan.

"Tak boleh. Awak cari 5 sen." Arah aku.

"Kaunter baru lepas kosongkan ni bang. Takde duit kecik. Dah hantar masuk belakang semuanya."

"Takpe. Awak pergi cari juga 5 sen saya. Awak jangan risau. Saya boleh tolong tengokkan kaunter. Awak masuk belakang cari 5 sen saya."

"Tak bolehlah macam tu bang. Customer dah ada ramai ni."

"Saya tak kira. Awak kena pulangkan baki 5 sen saya."

Pap! Pap! Bahu aku ditepuk dari belakang. Aku menoleh ke belakang. Kelihatan seorang brader rambut pacak bermuka tak puas hati. Melihat bentuk badannya, aku syak dia jenis suka main gym.

"Alah, 5 sen je brader. Tak payah berkira sangat. Halalkan ajelah." Tegur brader sado itu.

Praaakk!

Tak sampai beberapa saat, satu tendangan kilat singgah tepat di dada brader tadi. Brader sado tadi dengan mata terbeliak terpelanting ke belakang lalu melekat tepat di badan dinding.

“Kau menyibuk apa hal?” Jerkah aku.

“Sabar bro. Sabar. Benda boleh di bawa berbincang.” Tegur seorang brader kopiah yang kebetulan turut beratur di situ.

"Tak boleh bero. Dia tadi beria suruh aku cari. So sekarang dia pun kena cari la juga."

Akhirnya makwe kaunter terpaksa akur dan tutup kaunter sekejap untuk ke belakang cari duit 5 sen untuk aku.

"5 sen je nak kecoh. Kasi halal pun takpe." Satu kutu sound curi dari belakang.

Aku pandang kutu yang sound curi aku dengan renungan makrifat. Kutu tu rebah ke lantai dan terus mulut berbuih sebab kena sawan.
Tak sampai 2 minit, makwe kaunter muncul dengan wajah puas. Kali ni dia dah takde senyum-senyum. Makwe kaunter hulur 5 sen kepada aku.

Semasa aku berlalu pergi, aku sempat dengar makwe tu cakap dengan brader kopiah tadi,

"Semuanya RM8.35 sen bang"

Brader kopiah tu hulur RM20.

"Errr, bang. Ada duit kecik tak? Kami baru clearkan kaunter. Seeloknya sediakan duit cukup-cukup boleh?"

Aku pandang semula ke brader kopiah tu dan mata kami bertentang. Aku syak brader kopiah tu paham dah apa aku rasa tadi.


Aku geleng kepala dan meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Dajei, dah lewat 10 minit.

Wednesday, 18 March 2015

# Polis Sentri


Jika masih segar di dalam kotak ingatan setiap dari kita, pernah wujud sejenis permainan purbakala yang dinamakan 'polis sentri'. Ntah kutu mana yang reka nama 'polis sentri' ni padahal nama betul dia 'Police and Thieves'.

Permainan taktikal kategori hardcore ini memerlukan lebih daripada dua orang permain. Lagi ramai lagi bagus. Nak main dua orang pun boleh sahaja sebenarnya, cuma jadi tak logik akal. Mana ada polis Malaysia kejar orang jahat seorang diri.

Sukan yang memerlukan kepantasan dan ketepatan ini sesuai dimainkan oleh apa jua jantina, bangsa dan apa juga agama. Sesungguhnya tiada unsur syirik dan khurafat dalam permainan ini. Cara permainan ini mudah dan ringkas seperti mana nama permainannya. Permainan yang sesuai diaplikasikan di mana-mana situasi dan keadaan. Cuma mungkin sedikit bangang jika dimainkan dalam hujan.

Cara permainan adalah pemain yang ramai-ramai tadi akan dibahagikan kepada dua kumpulan secara undian. Sebelah pihak menjadi polis dan satu lagi pihak menjadi pencuri. Teknik undian bebas mengikut skill dan trend semasa, asalkan ianya adil. Undian paling mainstream adalah nyanyian ‘Polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga.’

Apabila selesai undian, sebuah penjara ataupun kandang akan dilukiskan di atas tanah berpasir membentuk sebuah bulatan besar berkadaran mengikut bilangan pencuri. Kecil sangat nanti tak muat, besar sangat nanti jadi selesa pula pencuri kat dalam.

Permainan dimulakan dengan kiraan kadar patut dan pihak yang menjadi pencuri akan lari bertempiaran dan pihak yang menjadi polis akan menangkap pencuri untuk dimasukkan ke dalam penjara. Pencuri bebas untuk berlari, melompat hatta berguling asalkan tidak sampai tertangkap oleh polis. Seperti mana pencuri, pihak polis juga bebas untuk menggunakan segala aplikasi penangkapan. Peliknya polis di dalam polis sentri ini tidak dibekalkan sebarang cota, pistol ataupun senapang. Kalau ada pun polis yang curi-curi guna, ia tidak berkesan sama sekali kepada pencuri.

Pencuri yang tertangkap oleh polis akan dibawak masuk ke dalam penjara atau kandang yang dilukis tadi. Ketika dibawa polis, pencuri hendaklah akur menurut perintah dan tidak boleh melawan atau buat-buat terlepas. Permainan akan tamat apabila kesemua pencuri telah berjaya dimasukkan ke dalam penjara.

Walaupun begitu, pencuri yang dimasukkan ke dalam penjara boleh dilepaskan dengan cara dicuit tangan oleh pencuri yang masih belum tertangkap. Menjadi tanggungjawab salah seorang polis untuk menjaga pencuri di dalam penjara supaya tidak dicuit tangan.

Jika permainan telah tamat dengan kesemua pencuri telah selamat ditangkap, permainan akan dimulakan semula dengan pihak polis pula menjadi pencuri dan sebaliknya. Tidaklah pernah dikaji entah kenapa polis menjadi pencuri secara tiba-tiba dan pencuri boleh menjadi polis juga secara tiba-tiba.

*****

Tahun 2015.

Budak-budak sekarang mengadap smartphone main COC. Sedih betei.

Yang sebenarnya, ini bukan masa mereka untuk buat semua tu. Ini masa untuk dia main congkak, main batu seremban, main terup lipat, main tuju selipar, main snap, main gasing, main teng-teng, galah panjang, panjat pokok. Walaupun bunyinya ketinggalan zaman, tapi itulah yang perlu dibuat oleh anak kecil. Dah besar nanti, kau hadaplah smartphone sampai muntah-muntah.

Adik-adik, abang takut bila hang sudah dewasa nanti, hang akan menyesal tak jadi menjadi budak sewaktu masih budak. Rugi!

Saturday, 31 January 2015

# Tahajjud Cinta


Tahajud. Itulah topik pcrbincangan pada kali ini. Ia adalah rutin harian Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang menjadi rahsia kejayaan mereka di dunia dan akhirat.

Kegemilangan umat Islam terdahulu bukan terletak pada kecerdasan mereka sahaja. Bukan juga pada ketegapan tubuh dan kekuatan fizikal semata-mata. Sebaliknya rahsia utama kejayaan ulung mereka bertunjangkan kedekatan jiwa mereka kepada Allah.

Tanpa sokongan dan pertolongan Allah, umat Islam tidak akan berjaya mencipta kegemilangan. Kita amat memerlukan pertolongan Allah terutamanya dalam situasi umat hari ini. Sesiapa yang memperhatikan pelbagai peristiwa yang berlaku pada umat Islam saat ini pasti melihat bahawa kita sedang mengharungi cabaran yang maha berat.

Tiada yang dapat membantu kita menghadapi cabaran ini melainkan Allah. Sayangnya, kita selalu membelakangkan Allah. Kita hanya bergantung kepada kecerdasan dan kemampuan kita yang terbatas dan angkuh pula untuk berdoa kepada Allah pada saat-saat mustajab.

Ketika Allah memanggil kita pada pertengahan malam dan membuka tangan-Nya untuk menerima taubat, kita terus lena tidur dalam kehangatan selimut. Bagaimana mungkin seorang pemuda yang tidak mampu menguak sehelai selimut untuk sujud kepada Allah, mampu membela agamanya dan membantu umatnya?

Justeru, mari kita hidupkan kembali budaya tahajud agar umat kembali bangkit!

Monday, 20 October 2014

# Hanjing 2


Masa aku sekolah rendah dulu, pernah sekali aku jalan kaki pulang dari sekolah ikut jalan pintas. Masa lalu lorong belakang kedai yang sunyi, aku terdengar beberapa dengusan dari arah belakang aku.

Aku toleh ke belakang. Rupanya aku dikepung oleh sekumpulan 5 ekor anjing liar.

Aku tenung satu persatu wajah anjing itu. Aku tengok dalam-dalam mata anjing itu. Aku cuba camkan dan kenalpasti yang mana satu ketua dalam geng diorang.

Lepas kenalpasti yang mana ketua, aku tenung mata dia pulak. Kemudian sambil tenung mata si ketua tadi, aku tunjuk ke arah mana anjing tu datang dan aku jerit mantap, "Pergi...!!!"

Aku berpaling dan teruskan perjalanan. Lepas dua tiga langkah, aku toleh belakang semula. Anjing tu semua blah kendian patah balik ke arah aku tunjukan tadi.

Bila sampai rumah, aku bagitahu kat mak bapak aku yang aku pemberani. Mak bapak aku rasa bangga.

Sekian saja flashback memori saya.

P/S: Tuhan saja yang tahu masa tu kaki aku macam agar-agar.

# Hanjing



Islam adalah agama yang syumul iaitu bersifat menyeluruh bagi setiap aspek kehidupan dari sains hingga ke sastera, dari politik hingga ke politeknik, sosial, ekonomi dan serba serbi. Jadi semua itu melibatkan hubungan dengan bukan sahaja Tuhan tetapi sesama manusia dan alam sekeliling.

Begitu juga dengan bab hukum Islam. Hukum Islam juga tak ada yang klasik, tak ada yang moden. Hukumnya terpakai sepanjang zaman. Tak ada sebarang modifikasi.

Oleh itu orang yang beriman, bertaqwa dan setiap hari memakai kopiah perlu memberi signal jika hendak masuk ke simpang ketika memandu.

Begitu juga dengan makwe hijabster. Bergambar sambil suka-suka memegang, memeluk, mendukung anjing tidak dianjurkan dalam agama malah ia bukan sunnah. Janganlah kita sengaja menjadi bangang!!

Sunday, 19 October 2014

# Bendera

focus..focus
Masa sekolah rendah dulu time perhimpunan, tugas untuk menaikkan Jalur Gemilang tatkala lagu Negaraku dinyanyikan adalah antara tugas yang mendebarkan para pengawas.

Waktu nyanyian tu, semua mata pelajar tertumpu pada bendera yang sedang ditarik.

Kalau bendera dah sampai dulu ke puncak tiang sebelum lagu habis, ia boleh mendatangkan malu besar.

Tapi kalau timing lagu dengan bendera cun, ngam-ngam serentak, dia punya kerek boleh bertahan sampai perhimpunan lagi satu.

Wednesday, 15 October 2014

# Burung


Dulu, ada burung layang-layang terbang masuk bilik aku. Lepas tu sayap dia terputus sebab kena kipas siling. Sebab kesian, aku cantum balik sayap dengan badan dia, kemudian aku balut guna selotape.

Aku bubuh dekat dengan tingkap supaya dia boleh terbang keluar.

Bila pikir-pikir balik, boleh tahan bangang gak aku rupanya time kecik-kecik.

Thursday, 9 October 2014

# Rezeki


Tang! Tang! Tang!

Pagi yang dingin dan tenang tiba-tiba bertukar menjadi havoc. Lantai di bilik kelihatan bergegar dan turut menjalar alirannya ke tubuh Amirul yang sedang enak tidur. Jika berlarutan gegaran itu, keenakkan Amirul sudah pasti tidak bertahan lama.

Tang! Tang! Tang! Tang!

Amirul cepat-cepat bangun dan duduk bersila, "Apa benda kau buat di dapur tu, Arip?"

"Aku masak nasi goreng ni, nak buat bekal kita pergi kerja," balas Arip cergas.

"Wahh, rajinnya kau. Buatkan aku telur goreng mata kerbau sekali!" Amirul bertempik seraya bangun sambil mencapai tuala belangnya dan melangkah deras ke bilik air.

*****

Tit! Tit! Tit!

"Op, op! Stop!" Jerit Amirul kepada drebar lori lalu tangkas melompat dari belakang lori. Pendaratannya cemerlang.

Ariff ikut sama melompat dan terus cepat-cepat memunggah karung-karung hitam dari tong besar di dalam sebuah rumah sampah ke dalam lori. Pergerakkan Amirul dan Arip sungguh kemas dan terancang. Tidak sekali pun karung sampah yang dibaling mereka berlaga sebelum menerjah ke belakang lori. Gandingan sebegini jarang-jarang terhasil jikalau tidak mempunyai ideologi yang sama.

Pekerjaan mereka di rumah sampah kaki pangsapuri mewah itu akhirnya selesai setelah lebih kurang 5 minit. Sesudah itu Amirul dan Arip meloncat ke satu platform di belakang lori dan bergayut mantap memegang palang besi di badan lori.

"Jalan!"

Lori hijau yang dinaiki mereka mula bergerak perlahan-lahan menyusuri lorong di celah-celah blok pangsapuri menuju ke pintu keluar. Dua tiga orang penghuni pangsapuri yang kebetulan sedang berjalan melalui lorong itu kelihatan masam mencuka di wajah. Amirul dan Arip hanya tersenyum di sebalik topeng ala ninja mereka.

Tiba-tiba Amirul menyedari ada sesuatu yang tak kena.

"Op, op! Stop!"

Seorang gadis berlari-lari anak sambil menjinjing karung hitam ke arah lori mereka. Amirul merenung gadis itu sehingga sampai ke belakang lori yang telah berhenti.

"Abang sampah, boleh tak I nak buang sampah ni?" Percakapan gadis itu sungguh lunak.

Amirul tangkas melompat ke atas permukaan jalan. Kali ini pendaratannya lebih cemerlang tanpa sebarang keluhan. Sungguh pun begitu, sakit di dalam siapa yang tahu. Sampah di tangan gadis itu segera diambil dan dicampakkan tenang ke dalam lori. Gadis itu mengukir satu senyuman yang sungguh mendebarkan.

"Thanks, abang sampah."

Monday, 6 October 2014

# Kompius

Ilustrasi penulis bagi memenuhi imaginasi anda
Masa di kedai makan, ada satu akak yang pregnant ni dok perhati aku dari tadi. Lepas tu dok senyum dan sengih sorang-sorang. Dok tengok aku, kemudian sengih dan senyum sorang-sorang.

Aku risau juga. Ingatkan zip seluar tak sampai ke atau seluar koyak ke. Tapi bila check, semua ok.

Untuk menghilangkan kerisauan, aku pandang cermin. Lepas tu baru aku dapat jawapan kenapa akak tu dok asyik pandang aku dan senyum.

*****
Ooo... Perempuan mengandung kan kena banyak tengok benda yang cantik-cantik, yang lawa-lawa. Patutla... Terjawab segala sangsi aku tadi.

Tuesday, 30 September 2014

# Awak duduk mana?

Sekadar Gambaq Hiasan
Masa makwe tu datang dan tanya, "Duduk mana?"

Aku jawab sambil senyum, "KL."

Kemudian datang kakak dia pula. Manis senyuman dia. Dia juga tanya, "Awak, awak duduk mana?"

Sekali lagi aku senyum manis dan jawab "KL."

Lepas tu bapak dia datang siap dengan apron dan pisau potong ayam di tangan, belum dia tanya, terus aku jawab.

"Duduk meja nombor 8, pakcik. Meja nombor 8."

Peh, nasib baik.

Monday, 29 September 2014

# Makwe


Jikalau tidak kerna saya sudah berjanji kepada diri sendiri untuk mencari makwe yang berkualiti,

sudahlah pasti tatkala ini saya keluar rumah, pergi shopping mall dan mengorat makwe di sana.

Tapi bak kata amirul, "makwe yang baik kebanyakannya ada di masjid."

Saturday, 22 February 2014

# Dulu Vs La Ni

Cuma Hiasan (itu bukan aku)
Zaman dulu banyak mende yang takde. Antaranya smartphone, Astro, Youtube, Facebook, Twitter, Instagram dan macam-macam lagi. Walaupun begitu, takde macam-macam bukanlah bermakna kami tidak merdeka dan gembira.

Zaman dulu, belah pagi kami ke sekolah, ke makmal, ke bengkel. Belah petang kami pergi prep, ke padang. Belah malam, kami ke surau, ke prep malam. Dan sebahagian besar prep malam, kami habiskan masa untuk mengarang surat-surat cinta, demi jiwa yang merdeka dan rasa yang gembira.

Zaman dulu tiada apalah yang menggembirakan hati kami selain daripada mengutus surat cinta dan menerima surat cinta.

Isnin, terima surat cinta dari makwe di Sekolah Tun Fatimah. 
Selasa, terima surat cinta dari makwe di Kolej Islam Sultan Alam Shah. 
Rabu, terima surat cinta dari makwe di Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya. 
Khamis, terima surat cinta dari makwe di Sekolah Seri Puteri. 
Jumaat, terima surat cinta dari makwe di Kolej Tunku Kurshiah
Sabtu, terima surat cinta dari makwe di MRSM. 
Ahad, tak terima apa-apa surat sebab posmen cuti.

Ini tak termasuk surat-surat cinta domestik yang harus kami balas saban malam.
______________________________________________

Ke hadapan Liyana,

Apa khabar? Diharapkan Liyana sihat walafiat hendaknya.

Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk memberitahu bahawa sayalah lelaki hensem yang duduk di meja Liyana semasa pertukaran kelas untuk matapelajaran English. Dan saya jugalah yang telah menulis ayat “Pen merah pen biru, You marah I Love You” di atas buku latihan Liyana.

Saya tak ada niat langsung nak conteng buku latihan Liyana sebenarnya. Saya ingatkan yang saya conteng itu buku latihan saya, rupa-rupanya bukan.

Saya minta maaf! Saya sungguh menyesal.

Sebagai menebus kesalahan, saya ingin belanja Liyana makan nasi ayam di Taman Tasik Taiping pada hari sabtu ini, selepas saya selesai perjumpaan kelab.

Kalau padi katakan padi, Tidak saya tertampi-tampi; Kalau sudi katakan sudi, Tidak saya ternanti-nanti.

Sekian, terima kasih.

Yang benar, Amirul 1 Zuhrah
________________________________________________

P/S: Zaman dulu juga takde 'emoticon'

Thursday, 20 February 2014

# Usahawan


"Ariff, aku nak tanya sikit boleh tak?" soal Amirul yang sedari tadi diam memandang laut.

"Tanyalah... Apa dia?" Ariff jawab tenang sambil jari ligat bermain game ular di telefon bimbit murahnya.

"Apa nak jadi dengan kita ni Ariff? Pagi petang siang malam duk melepak dekat bangku tepi laut ni. Takde cuti tau? Makwe pun takde." Amirul cuba meluahkan perasaan yang terpendam di benaknya selama ini.

Ariff diam membisu. Pasir-pasir tepi laut itu dikuis-kuis dengan kaki.

"Ye lah. Habis, kita nak buat apa? Kerja? Kita bukan ada degree pun. SPM pun kita dua-dua kantoi. Manalah orang nak ambik kita kerja." Ariff jawab persoalan Amirul.

"Tapi aku dah boring lah duduk hari-hari macam gini. Kita meniaga nak?" bola mata Amirul sedikit bersinar-sinar.

"Kita nak meniaga apa? Aku tebas semak, makan nasi, update status Facebook tahulah. Meniaga? Kau tahu meniaga?" jari Ariff masih lagi ligat bermain game ular di telefon bimbitnya.

Amirul menggaru-garu kepalanya yang hampir tidak berambut itu.

"Tahu! Aku selalu pergi pasar malam dekat pekan tu. Ramai je orang meniaga?" ujar Amirul.

"Diorang yang meniaga, bukan kau. Bongok! Entah apa-apa je lah kau ni." marah Ariff.

"Hoi, korang dating tak ajak aku ye!" tiba-tiba Kassim muncul dengan skuternya.

"Alah, kau bukan tak tahu. Kitaorang tiap-tiap hari ada dekat sini. Kau apa kes?" Amirul senyum nipis memandang Kassim.

"Aku baru lepas beli barang untuk mak aku. Nak buat laksa katanya." Kassim menongkat skuternya. Kemudian dia menge'lock' handle skuternya, takut di curi.

"Kassim, kitorang nak meniagalah. Kau ada idea nak meniaga apa tak?" soal Ariff.

Kassim memandang langit.

"Korang jual airlah. Dekat tepi laut ni, panas-panas gini tentu air korang laku punyalah!" Kassim memberikan buah fikiran.

*****

Keesokannya, dari jauh Kassim melihat kelibat dua orang kawannya di tepi laut siap dengan gerai lagi. Kassim tersenyum puas melihat perubahan kawannya.

Inilah belia-belia kampung yang kita mahu!

"Korang buat apa ni?" tanya Kassim yang baru tiba di gerai Amirul dan Ariff dengan mata terbeliak.

"Kita orang jual airlah. Macam kau cakap hari tu. Bukan saja orang dapat mandi-manda, malah kita orang jual air laut ni untuk dia orang bawak balik sebagai cenderamata tau." Amirul dan Ariff jawab serentak. Yakin.

*****

Dari jauh kelihatan Kassim perlahan-lahan berenang ke tengah laut dengan harapan mati lemas daripada melepak dengan dua ekor beruk itu.

# Can`t?


I CAN READ IT! CAN YOU?

Ada sesiapa yg boleh baca ni? (Mgnieukt kjiaan Cmabrigde Uinervtisy sseaipa upn bleoh mmbcanaya waalu hruufyna brterbaur kraena oatk ktia tiadk mngjea hruuf stau-prestau tpai mmebcaa preaktaan sceara mnyeulruh asalakn hruuf peratma jgua ynag trakehir bareda diteamptyna):- fi yuo cna raed tihs, yuo hvae a sgtrane mnid too. Cna yuo raed tihs? Olny 55 plepoe can.

i cdnuolt blveiee taht I cluod aulaclty uesdnatnrd waht I was rdanieg. The phaonmneal pweor of the hmuan mnid, aoccdrnig to a rscheearch at Cmabrigde Uinervtisy, it dseno't mtaetr in waht oerdr the ltteres in a wrod are, the olny iproamtnt tihng is taht the frsit and lsat ltteer be in the rghit pclae. The rset can be a taotl mses and you can sitll raed it whotuit a pboerlm. Tihs is bcuseae the huamn mnid deos not raed ervey lteter by istlef, but the wrod as a wlohe. Azanmig huh? yaeh and I awlyas tghuhot slpeling was ipmorantt! if you can raed tihs forwrad it.

ONLY FORWARD IF YOU CAN READ THIS

*************

Syukur, otak aku masih boleh baca dengan jayanya.

Cuma aku pelik sebab aku masih gagal baca bahasa gampang macam:

"apeuw nark buad hariniw"

Natang!

Wednesday, 19 February 2014

# .....


"Mak, dua hari lagi hari jadi Sue yang ke 17. Boleh belikan Sue baju baru?"

"Boleh. Besok kita pergi bandar sama-sama ya?"

*****

"Mak, boleh celebrate hari jadi Sue dan jemput kawan-kawan Sue sekali?"

"Yer lah. 17 tahun itu sekali saja kan? Jemput lah."

*****

"Mak, kejap lagi majlis nak mula. Boleh Sue pinjam alat solek mak? Sue nak nampak cantik hari ini..."

"..."

"Mak, boleh tak?"

*****

"Sulaiman! Jangan merepek!!!"

Wednesday, 5 February 2014

# A.O.W


Amirul di dalam sebuah kedai buku. Kedai buku di dalam sebuah pasaraya. Pasaraya yang belum runtuh. Amirul pegang sebuah buku kulit tebal. Tajuk buku tu "Art Of War". Amirul dah lama cari buku ni. Merata kedai buku dijelajah baru kini dijumpa. Amirul letak kembali di rak. Buku berada di rak. Rak di dalam kedai buku. Kedai buku di dalam pasaraya. Pasaraya belum runtuh.

Hajat di hati nak dikebas. Tapi takut nanti tersangkut kaki ketika ke syurga. Duit di poket tak berapa nak ada. Benar kata Ustaz Rais di sekolah dulu, bila kita nak baca buku, kita takde buku sebab takde duit. Tapi bila kita ada duit, takde masa nak baca buku. Amirul kini di situasi satu.

Amirul letakkan buku ke dalam sikit. Jauh dari tempat asal. Minggu depan ada duit, Amirul datang nak beli. Minggu depan Amirul akan ambil. Ishk!!! Tapi tak boleh, nanti ada orang lain beli dulu. Tak pun nanti pekerja kedai buku akan susun balik di tempat asal. Melepaslah Amirul nanti. Nak call member nak pinjam duit, semua zaman makan nasi bujang.

Amirul ada idea. Amirul kena tebalkan muka. Dan jujur.

"Cik, saya nak beli buku ni, tapi sekarang saya takde duit. Boleh tak cik simpankan dulu? Nanti minggu depan saya ambil, boleh cik?"

"Ouh, kalau macam tu saya akan tampal nama awak kat buku ni, letak bawah meja. Minggu depan awak datang mintak dekat saya."

"Okey. Oh, ye... Macam mana kalau saya datang nanti awak tak kerja pulak. Elok bagi nombor telefon awak. Nanti sebelum datang saya call tanya awak kerja ke tak. Okey?"

******

Malam itu. Pukul 11.

"Hai Fatin. Amirul ni. Tgh watpe tu? Dah tdo ke? Saya Amirul siang tadi."

-Message delivered-


Monday, 3 February 2014

# C.U.T


Klasik 90an

Tahun itu Ariff baru berkhatan. Sakit memang sakit, tapi Pak Kassim kata, kalau tak khatan tak boleh kahwin. Ariff tekad. Gatal nak kahwin boleh mengatasi sakit. Power bukan?

Kebiasaannya Ariff akan lepak depan televisyen di ruang tamu dengan kain pelikat berikat ke atas siling. Macam khemah pengakap. Kalau orang datang menjenguk, memang diorang akan jenguk lah jugak dekat dalam tu. Lepas tu bagi salam kaut dekat Ariff.

Dah jenguk. Gelak-gelak, bagi duit.

Dah jenguk. Gelak-gelak, bagi duit.

Hal begini buat Ariff rasa bengang sebab merasakan dirinya seperti perempuan kaberet.

Masa itu, televisyen tiada remote lagi. Ariff tak boleh bergerak sesuka hati, nanti bentan. Makcik Midah yang kata. Macamlah dia ada pengalaman berkhatan. Jadi, makcik Midah lah jadi remotenya. Petik butang di televisyen untuk Ariff.

Ada satu malam tu rancangan Baywatch tengah sedap main dekat televisyen.

Ariff ketip bibir masa menonton. Matanya mula bergenang.

*****

"Mak, tukar channel. Orang sakittttt!!!"

# C.I.N.T.A



Dalam hal bercinta, setiap manusia ada potensi yang tersendiri. Potensi untuk meninggalkan, potensi untuk ditinggalkan, potensi untuk curang, potensi untuk setia dan bermacam jenis lagi potensi. Begitu juga dalam hal menambat hati bekas kekasih, ada dua jenis kemungkinan potensi sahaja, potensi untuk kau berjaya dan kembali bahagia atau potensi untuk menjadi manusia paling bangang dalam dunia.

Orang kata cinta tak bermata, cinta itu buta. Aku pun rasa benda yang sama. Semua orang kat luar sana, tak kisahlah dara, teruna, janda, tunang malah suami atau isteri orang pun masih berpotensi untuk menjadi milik kau. Kalau tak kena gaya pun, berpotensi buat kau terbunuh je.

Monday, 20 January 2014

# Rukun


Rukun Internet

1. Kepercayaan kepada Google

2. Kesetiaan kepada Facebook dan Twitter

3. Keluhuran Youtube

4. Kedaulatan Instagram

5. Keceluparan dan Kesasulan

Sunday, 19 January 2014

# BandBoi?


Suatu petang yang damai, Amirul dan Ariff tengah sedap-sedap melepak di atas pangkin bawah pokok rambutan milik abah Amirul sambil bermain gitar dan bernyanyi. Jika hendak dinilai secara kadar segera, mereka berdua punyai citarasa yang sama dari segi etika berpakaian, pegangan muzik, sosio politik, posisi berjimak hatta jenama seluar dalam sekalipun.

Sambil mengulum buah rambutan, mereka berdiskusi sambil jari masing-masing leka memetik gitar.

“Weh, aku nak tanya sikit. Apa pendapat hang tentang band-band Malaysia sekarang ni?” Soal Ariff sambil meludah biji rambutan.

Amirul berhenti petik gitar.

“Pendapat aku, makin banyak yang serupa haram. Main elok sikit saja dari setan. Buat lagu tak pernahnya nak sedap. Kalau sedap pun, feel tu takde. Main lagu pasal nak masuk radio. Dressing masing-masing pulak dah serupa anjing. Nak nampak hebat di mata, mainnya macam gampang. Aku geram juga bila cakap pasal ni.” Ulas Amirul panjang lebar sampai terjuih-juih bibir. Benci sangat gayanya.

“Aku setuju dengan kata-kata hang. Nak dengar habis satu lagu pun sakit hati juga. Benda ni macam dah jadi penyakit dah sebenarnya. Masalahnya sekarang, bodohnya band-band sekarang ni jenis bodoh tak boleh diajar. Lagi ajar lagi jadi bodoh. Lagi kena tegur lagi jadi bangang.” Ujar Ariff kembali.

Amirul mengangguk-angguk kecil mengiyakan kata-kata Ariff.

“Jom buat band nak?” Ajak Amirul.

“Serius?” Ariff membalas.

“Serius la. Tapi aku tak nak kita buat macam budak-budak sekarang ni buat. Aku nak kita cuba reka sejenis muzik baru. Biar radio tak nak pasang pun takpe, Youtube ada, pesbuk pun ada. Hang rasa-rasa kita ada potensi tak?”

“Aku ok saja asalkan posisi vokalis jangan bagi aku. Suara aku dah tak sedap dah satu hal, nak kena lepak depan-depan stage memang bukan keberanian aku la. Lagipun lumrah vokalis ni selalu ramai peminat. Risau juga aku tak boleh handle populariti yang diraih mendadak lalu menukar aku jadi lupa diri dan nilai-nilai moral.” Balas Ariff tenang.

“Aku paham. Aku paham. Kalau macam tu, nanti kita ajak Mat Yus join kita. Dia main part drum. Hang main bass. Biar aku ambik lead sambil menyanyi. Buat permulaan, gitar sorang cukup dulu la kot. Nanti aku try ajak Saha. Dia boleh juga main gitar tu.”

“Kalau dah macam tu perancangannya, aku setuju saja. Sama-sama kita buktikan pada band-band sedia ada macam mana cara betul nak main muzik. Start esok petang kita mula tulis lagu. Hahahaha!” Jerit Ariff bersemangat sambil ketawa. Buruknya wajah Ariff ketika ketawa hanya Amirul dan Tuhan saja yang tahu.

Masuk saja waktu Maghrib, Ariff dan Amirul pun berpisah untuk pulang ke rumah sambil memasang angan-angan. Walaupun Ariff dan Amirul rock, mereka pantang betul dengan manusia jenis melepak di luar rumah waktu Maghrib. Waktu ini setan saja yang lepak.

*****

Malam itu, sedang sedap Amirul duduk berbaring depan televisyen, telefon Amirul berbunyi menandakan ada WASSAP masuk. Dalam keadaan bermalas-malasan, Amirul terpaksa bangun mendapatkan telefon di atas meja makan. Tertera di skrin satu mesej baru dari Ariff. Amirul tekan butang read.
____________________________

Amirul, hang baca ni woi. Aku terjumpa dalam Facebook tadi. Aku ingat nak cancel la nak buat band. “Akan ada dari kalangan umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-maazif (alat nyanyian)” – Hadis riwayat Bukhari dari Abu Malik r.a
____________________________

Amirul letak balik telefon atas meja makan dan kembali berbaring depan televisyen. Sebulan dia tak bercakap dengan Ariff.